Carian

Thursday, August 16, 2012

Aman Palestin mula bina masjid Al-Qassam berharga RM374,000


GAZA: Pembinaan masjid Al-Qassam berharga RM374,000 atas sumbangan rakyat Malaysia telah mula memberi kelegaan kepada kehidupan penduduk di lorong Abasan Al-Jadeeda di Khan Younis.

Bercakap di majlis meletakkan batu asas masjid itu, Menteri Wakaf (Agama) Palestin, Dr Saleh Arlreqeb berkata semasa serangan ke atas Gaza di bulan Disember 2008, sebanyak 34 buah masjid musnah sepenuhnya manakala 161 lagi sebahagiannya musnah. 
"Bagaimanapun menerusi usaha suci saudara Islam dari seluruh dunia, kami (rakyat Palestin) akan mendirikan semula semua masjid. Malah kami akan membinanya dengan cara yang lebih baik," katanya selepas selesai majlis meletakkan batu asas tapak pembinaan masjid tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata adalah mustahak bagi rakyat Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin terutama sekali di bidang kebudayaan dan agama khususnya di bulan Ramadan ini.

"Tarikh pelaksanaan projek dipilih dengan teliti sempena 10 hari terakhir di bulan Ramadan yang dianggap hari-hari penuh mulia di bulan tersebut. Bangunan masjid dua tingkat ini akan dibina di tapak seluas 500 meter persegi yang boleh menampung kira-kira 3,000 jemaah," katanya.

Sejak empat tahun lalu penduduk di lorong berkenaan menunaikan sembahyang di bangunan sementara diperbuat daripada batang-batang besi berdindingkan kain yang dibina sebaik sahaja selepas kemusnahan bangunan masjid.

Khan Younis, sebuah bandaraya terletak di bahagian selatan Semenanjung Gaza adalah kawasan bandar kedua terbesar selepas Bandaraya Gaza yang kini mempunyai jumlah kadar pengangguran paling tinggi dalam wilayah Palestin. - Bernama

NOTA: Alhamdulillah...tq utk rakyat Malaysia yang dermawan dan Aman Palestin yang bersama menjayakan projek tersebut.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih daun keladi,
Datang sini, komen le lagi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...