Carian

Friday, September 14, 2012

Peniaga Maut, Isteri Parah Ditikam Perompak

Seorang peniaga maut manakala isterinya parah akibat ditikam dalam satu kejadian rompakan di Kampung Baru Simpang Songsang di Temerloh awal pagi ini.
    
Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika mangsa, Abu Talib Yadin, 56, dan isterinya, Siti Rohani Salleh, 48, baru pulang daripada menjalankan perniagaan mereka di kawasan rawat dan rehat Temerloh.
    
Katanya kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan itu telah dihalang sebuah kereta Proton Wira berwarna merah yang dinaiki tiga lelaki kira-kira 200 meter dari rumah pasangan itu.
    
"Perompak tersebut memecahkan cermin belakang dan depan kereta mangsa sebelum bertindak menarik keluar Abu Talib dari keretanya yang mengakibatkan berlakunya pergelutan di antara mereka.
    
"Dalam pergelutan itu mangsa ditikam sebanyak tiga kali dengan senjata tajam di bahagian kiri dan kanan rusuk menyebabkan dia mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Temerloh hari ini.

Sharifuddin berkata, isteri mangsa turut ditikam di bahagian rusuk kanan dan bahagian kiri perut dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh oleh jirannya dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
    
Menurutnya ketiga-tiga perombak itu melarikan wang tunai RM700, tiga telefon bimbit, seutas gelang tangan dan seutas gelang kaki dan kerugian dianggarkan RM4,000.
     
"Tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian dan pihak kita belum dapat memastikan motif sebenar kejadian, tetapi ia dipercayai rompakan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
    
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya segera menghubungi mana-mana balai polis.

Bernama

No comments:

Post a Comment

Terima kasih daun keladi,
Datang sini, komen le lagi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...