Carian

Friday, March 29, 2013

Masalah Penempatan Guru 2013

Assalamualaikum w.bt



Dah empat bulan menunggu khabar berita. Hari berganti hari..bulan berganti bulan. Siap aku sempat  buat keje part time lagi. Itu la nasib aku salah seorang lepasan IPGM..senang kata bakal guru la. 5 tahun setengah berhempas-pulas mencari ilmu untuk mendidik, hasilnya belum lagi dapat dituai. Aku ni bukannya tak bersyukur tapi sebagai anak sulung bagi sebuah keluarga golongan marhaen adalah menjadi harapan aku untuk memberi sumbangan pulak. Aku tak boleh lagi mengharapkan ayah aku seorang sahaja yang bekerja. Aku pun nak jugak merasa membantu adik-adik aku yang tengah melanjutkan pelajaran diorang. Sekarang mampu bersabar aje la. Nak kata tak usaha, tu hah dah masuk surat khabar (trimas kepada wakil batch 2009). 

p/s: Sabar itu ada tahapnya...

Tuesday, March 26, 2013

Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR - Tokoh Maal Hijrah 2005, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) malam tadi akibat sakit jantung.

   
Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam.
   

Beliau meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.
   
Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi.
   
"Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita.
   
Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika berkumpul bersama anak serta cucunya.
    
Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama.
   
Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi ini sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor.
   
Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.
   
Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM). - Bernama


p/s : Mari sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah..

Saturday, March 23, 2013

Si Guru Kecil

SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.



                                                                                                                                      - MailOnline

Friday, March 22, 2013

Si Kiran Meroyan Lagi!!


KUALA LUMPUR, 22 Mac - Peguam bagi Kesultanan Sulu merangka butiran saman AS $ 25 billion (RM78 billion) terhadap Malaysia kerana didakwa merampas kuasa dan membangunkan sumber asli Sabah secara haram, lapor The Manila Times  hari ini.

Akhbar berbahasa Inggeris tersebut menyatakan kesultanan Sulu merancang untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai respons ke atas keputusan untuk memfailkan tuduhan keganasan terhadap lapan orang pengikutnya di Sabah oleh kerajaan Malaysia pada Rabu lalu.

AS $ 25 billion "denda" yang dimaksudkan adalah sebagai bayaran oleh pihak Malaysia kerana "mengeksploitasi kekayaan semula jadi Sabah", yang menurut mereka milik Kesultanan Sulu.

Jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani dilaporkan berkata semalam bahawa caj oleh Malaysia adalah "haram" dan tidak sepatutnya dikenakan terhadap lapan individu yang dipercayai terlibat dalam pencerobohan ke atas Lahad Datu.

Thursday, March 21, 2013

8 Pengganas Dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau

TAWAU -  Kompleks Mahkamah Tawau yang menempatkan Mahkamah Majistret, Seksyen dan Tinggi dikawal anggota pasukan keselamatan bersenjata sejak awal pagi ini.
   
Anggota polis tambahan mula memasuki perkarangan mahkamah pada 7.30 pagi menaiki dua lori polis dan beberapa kereta.
   
Kira-kira 40 anggota lengkap bersenjata berada di sekitar kawasan yang telah ditutup kepada orang awam bermula 5.30 petang semalam.
   
Kawasan luar mahkamah juga disita dan dikawal. Hanya pekerja mahkamah dibenar masuk ke mahkamah manakala wartawan hanya dibenar berada di luar kawasan.
   
Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dilihat memasuki mahkamah pada pukul 8.23 pagi.
  
Prosiding pendakwaan terhadap lapan lelaki Filipina akan dijalankan di sini pagi ini setelah kes terhadap mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

   
Kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 66 tahun itu didakwa atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.
   
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 130KA kanun yang sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.
   
Semalam kelapan-lapan mereka didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan kes itu diperintah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau. - Bernama




p/s: Kalau terbukti benar mereka ini bersalah, berilah hukuman yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan. Bukan sebagai balas dendam tapi pengajaran kepada pihak lain yang ingin mengganggu keamanan Malaysia. I vote 4 peace!!

Monday, March 18, 2013

1# Memori Lama Mengusik Jiwa

Assalamualaikum w.b.t

Tetiba lak malam ni, aku teringat sesuatu yang memang aku pernah buat masa kecik-kecik dulu. Pada sesiapa yang pernah menikmati zaman kanak-kanak pada tahun 90-an mesti merasai pengalaman nih. Cuba tengok gambar kat bawah..Hah!! ingat tak???


p/s: Aku guna bekas 'video tape' macam ni (sbg pencil box) sampai foundation kt maktab dulu. Memang legend lah!!

Sunday, March 17, 2013

BR1M Warga Emas Di'rembat' Orang


GEMENCHEH – “Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pak cik dah diambil orang."

Itulah kata-kata dari petugas BR1M 2.0 yang masih kekal dalam ingatan Idris Dahalan, 76, hingga ke hari ini ketika dia ingin mengambil bantuan berkenaan buat kali kedua di Dewan Sri Gemencheh pada 28 Februari lalu.

Baucar BR1M diambil orangMenurutnya, dia masih tertanya-tanya siapakah individu yang mengambil baucar RM500 miliknya itu sedangkan dia tidak pernah mewakilkan sesiapa dan memberikan kad pengenalannya kepada orang lain.

“Pak cik pelik juga tetapi atas nasihat petugas berkenaan, pak cik membuat satu laporan di Balai Polis Gemencheh pada hari yang sama.  







Untuk berita lanjut, sila klik sini

Saturday, March 16, 2013

Apa Kena Dengan Makhluk Ni??

Assalamualaikum w.b.t

Selamat petang semua..Petang ni hujan lebat menyebabkan aku tak dapat nak ber'joging' keliling kampung macam biasa. Biasa la sekarang musim cuaca tak menentu. Perangai orang pun tak menentu sekarang lagi-lagi nak dekat pilihanraya ni. Dua hari lepas, aku sempat bersiar-siar di alam maya dan agak terkejut dengan kenyataan seorang pompuan ni. Aku tak pasti la dia ni meroyan ke apa. Tapi aku sangat kecewa yang isu 'bertudung' pun boleh dia jadikan modal politik. So, kat bawah ni aku letakkan dalil yang mewajibkan semua wanita Islam menutup aurat mereka dengan bertudung. INGAT..hukum dalam Al-Quran bukan boleh dimainkan. Ini arahan Allah s.w.t bukannya manusia yang lemah segala-galanya.


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka........ (An-Nur; 31).

Thursday, March 14, 2013

2 Lagi Wira Negara Selamat Dikebumikan

Jenazah dua wira negara Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Ruslan yang gugur dalam Operasi Daulat menentang militan dari Sulu semalam, selamat dikebumi di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Hurairah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang, tidak jauh dari rumah keluarganya di Pasir Mas, manakala Ahmad Farhan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor di Kota Bharu.

Upacara pengebumian kedua-dua wira negara itu diadakan penuh istiadat ketenteraan dan turut dihadiri anggota dan pegawai tinggi tentera.

Jenazah Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan pesawat Charlie C-130 pada pukul 9.50 pagi, dan dibawa ke kampung halaman masing-masing dengan van jenazah.

Terdahulu jenazah kedua-dua wira negara itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sejurus sebelum 8 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu.

Ahmad Hurairah, 24, terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu, Sabah semalam manakala Ahmad Farhan, 21, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Jenazah Ahmad Hurairah tiba di rumah keluarganya di Kampung Bayu Lalang di Pasir Mas untuk disembahyangkan pada pukul 11.15 pagi.

Antara yang turut sembahyang jenazah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Suasana agak hiba seketika apabila Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Ismail Hussin, 54, sebaik selesai majlis pengebumian itu.

Di Kota Bharu, jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Desa Darulnaim II, di Pasir Tumboh dan disemadikan pada pukul 12 tengah hari.

Antara yang hadir pada pengebumian wira negara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Abdul Latiff kemudian menyerahkan bendera Malaysia yang membaluti keranda kepada bapa Allahyarham.   

Ruslan ketika ditemui di tanah perkuburan itu berkata beliau amat berterima kasih di atas penghargaan pasukan tentera apabila memberi penghormatan terakhir yang begitu tinggi terhadap anaknya.

"Saya reda dengan pemergian anak saya yang memang berminat mewarisi jejak saya untuk menjadi askar sejak kecil lagi," kata bekas tentera itu yang menamatkan perkhidmatan terakhirnya di Kem Terendak, Melaka pada 2004.

Bernama

# Motivasi Hari Ini


Thursday, March 7, 2013

Kronologi Insiden Pencerobohan Lahad Datu


12 Februari 2013 – pencerobohan bersenjata berlaku di Lahad Datu di mana kira-kira 150 orang bersenjata berpakaian tentera menceroboh masuk ke Felda Sahabat, Lahad Datu.
Polis mengepung kawasan itu dan mengarahkan kumpulan itu meletakkan senjata mereka dan menyerah diri.
14 – 28 Februari – Rundingan dijalankan di mana yang penceroboh dikenal pasti dari selatan Filipina, mendakwa ada kaitan dengan ‘kesultanan Sulu’.
Terdapat beberapa pusingan rundingan antara penceroboh dan pihak polis untuk mengelak pertumpahan darah.
Tarikh akhir bagi penceroboh untuk pulang secara aman pada 24 Februari lulus tetapi rundingan diteruskan untuk membolehkan mereka untuk berundur.
1 Mac – Insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang mengakibatkan dua anggota polis Malaysia (komando) terkorban akibat serangan mortar. Dua belas penceroboh bersenjata ditembak mati polis. Risalah digugurkan dari helikopter mengarahkan penceroboh bersenjata yang berkubu di Kampung Tanduo supaya menyerah diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada penceroboh supaya menyerahkan dan jika gagal berbuat demikian pihak berkuasa akan mengambil tindakan. Presiden Filipina Benigno Aquino III menggesa penceroboh menyerahkan diri tanpa syarat.
2 Mac – Insiden tembak- menembak di Kampung Simunul di Semporna di mana enam anggota polis terkorban dan enam lagi penceroboh  terbunuh. Seorang lagi penceroboh bersenjata, yang dikenal pasti oleh penduduk kampung sebagai seorang imam, juga dibunuh di Kampung Sinalang Lama oleh penduduk kampung selepas dia cuba menjadikan mereka sebagai tebusan.
3 Mac – Polis menyelamatkan mereka yang terperangkap dan mengambil mayat.
4 Mac – Tujuh batalion tentera telah dikerahkan ke Sabah. Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian diisytiharkan sebagai “zon merah” berikutan laporan pendaratan lelaki bersenjata di sana.
Penceroboh dilabelkan sebagai “pengganas” selepas mesyuarat antara menteri luar Malaysia yang asing dan setiausaha luar Filipina di Kuala Lumpur. [Ini telah dipertikaikan oleh Manila].
5 Mac – Tindakan bersama oleh pasukan keselamatan. Najib berkata, pasukan keselamatan telah melancarkan ‘Ops Daulat’ untuk menamatkan kebuntuan dengan pengganas di Kampung Tanduo untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. Ini diikuti dengan operasi memburu dan membersihkan kawasan itu.
6 Mac – Seorang pengganas bersenjata ditembak mati ketika cuba untuk menyerang hendap pasukan keselamatan negara Malaysia. Kawasan operasi diperluaskan. Keadaan keselamatan di bawah kawalan. 

Sumber: Malaysiakini.com

Tuesday, March 5, 2013

Selamat Berjuang Wira Negara!

Assalamualaikum w.b.t

Sehingga hari ini, sudah masuk minggu ke-3 berlakunya pencerobohan kumpulan yang mendakwa mereka sebagai askar Kesultanan Sulu. Insiden yang mengejutkan ini juga telah meragut nyawa 8 orang anggota polis negara kita. Mereka ialah :


1)
Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29 - VAT69 KOMANDO - Kem Ulu Kinta
2)
Sarjan Sabarudin Daud, 46 - VAT69 KOMANDO - Kem Ulu Kinta
3)
Sarjan Baharin Hamid, 49 - SB Sabah
4)
Sarjan Abdul Azis Sakirun - PGA Semporna
5)
Koperal Salam Togiran, 42 - SB Tawau
6)
Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27 -PGA Semporna
7)
Asisten Supritendan Michael Padel, 36 - KCKD Semporna
8)
Supritendan Ibrahim Lebar, 52 - SB Bkt Aman



Kini, pasukan tentera dan PDRM telah menjalinkan kerjasama di mana operasi yang bermula pagi tadi (secara offensive) dijalankan setelah tawaran pihak keselamatan sebelum ini tidak dihiraukan. Alhamdulillah, sehingga kini tiada nyawa yang terkorban di pihak berkuasa negara kita. Aku menyeru agar kita sama-sama menadah tangan berdoa agar insiden ini berakhir secepat mungkin. Lupakan sementara perbezaan kita khususnya berkenaan politik. Ibarat kata pepatah "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Tidak lupa buat wira-wira yang berada di Sabah, kami seluruh rakyat Malaysia sentiasa mendoakan anda semua.

















Friday, March 1, 2013

Ragam Budak Bertatu


Kuala Lumpur: Mereka bukan saja memberi amaran kepada ustazah yang mengajar di sekolah supaya jangan campur tangan, malah turut mengugut mahu membunuh wanita berkenaan selepas ditegur kerana melakar tatu di tangan, selain membuat bising di dalam kelas.
Itulah sikap samseng dan kurang ajar dua pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di ibu kota, sekali gus menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa membuat laporan polis ke atas mereka, kelmarin. Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari, ustazah berusia 28 tahun itu pada mulanya menegur kedua-dua pelajar terbabit kerana membuat bising dan mengganggu pembelajaran.

“Teguran ustazah itu mengundang rasa marah dua pelajar terbabit sebelum seorang daripada mereka memarahinya. Berikutan itu, ustazah berkenaan menghampiri seorang daripada pelajar itu sebelum terkejut apabila mendapati ada tatu pada tangannya.
“Ustazah itu memeriksa tangan seorang lagi pelajar dan mendapati dia juga menemui tatu sama di tangan,” katanya.

Menurutnya, ustazah terbabit menegur kedua-dua pelajar berusia 14 tahun itu dengan memberitahu perbuatan mereka salah mengikut ajaran Islam serta peraturan sekolah.

Teguran ustazah itu menyebabkan pelajar terbabit bertambah berang lalu memarahinya serta memberi amaran supaya jangan masuk campur urusan mereka.
“Malah, seorang daripada pelajar terbabit turut mengugut mahu membunuh wanita itu sekiranya terus campur tangan dalam urusan mereka,” katanya.

Menurutnya, menyedari kedua-dua pelajarnya itu sukar dikawal, ustazah terbabit kemudian menghubungi guru disiplin bagi mendapatkan bantuan.
Sumber itu berkata, kedua-dua suspek dibawa ke pejabat sekolah sebelum ustazah terbabit membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini.

“Dalam laporannya, pengadu mendakwa dua pelajar berkenaan menganggotai kumpulan samseng di luar sekolah dan siasatan awal polis juga mendapati seorang daripada mereka pernah disiasat kerana melakukan kesalahan jenayah,” katanya.

sumber: myMetro

p/s: Bila ibu bapa tak ambik kisah perihal anak-anak...sampai ustazah pun kena ugut. Memang samseng Kg.Pisang daaa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...