Hasrat sepasang suami isteri untuk menoreh getah tidak kesampaian, apabila pasangan itu maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di Jalan Kampung Palong 13, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Ismail Amin, 55, maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Siti Hendon Andang, 50, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Gugusan Palong 9, dekat sini.
Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai dalam perjalanan dari Felda Palong 13 menuju ke Palong 10.
‘‘Hasil maklumat orang awam, sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Suzuki RC100 yang dinaiki kedua-dua mangsa berkenaan.
‘‘Mangsa telah digilis dan pemandu tersebut yang cemas dengan kejadian tersebut telah bertindak melarikan diri,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd. Sabri, pihaknya berusaha untuk menjejaki pemandu lori terbabit dan kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
‘‘Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan kita meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 06-4583449,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, mangsa yang berstatus penduduk tetap itu telah meninggalkan tiga orang anak perempuan iaitu Liahisma Tusdiana,22, Lilipitriama, 19, serta Julai Normalah, 13.
Sementara itu, Liahisma ketika ditemui berkata, dia ada menghubungi ibunya dua hari yang lalu.
‘‘Saya mengadu bahawa tangan saya sakit. Ibu suruh saya segera pulang ke Palong untuk berubat.
‘‘Tetapi apabila saya beritahu akan pulang ketika perayaan Deepavali, ibu cakap, cepat balik ke Palong takut tidak sempat berubat,” jelas anak sulung pasangan tersebut yang kini menuntut di Institut Perguruan Kampus Perempuan Melayu, Melaka.
Manakala, adiknya, Lilipitriama pula memberitahu, bapanya ada berkelakuan aneh sebelum terlibat dengan nahas tersebut.
‘‘Semalam saya ada berjumpa dengan arwah ayah. Oleh kerana saya tinggal bersama ibu angkat saya, ayah bekalkan petai buat saya. Ayah cakap ini petai yang terakhir.
“Ibu pula memeluk saya dengan erat. Semalam saya lihat ibu sangat gembira. Kini mereka sudah tiada,” katanya dalam nada sebak.
Jenazah pasangan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Palong 12, dekat sini.
Nota : Takziah buat keluarga arwah Ismail Amin dan Siti Hendon Andang. Semoga roh mereka ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Amin...Buat kita yang masih mempunyai ibu dan ayah, sayangilah mereka dan berbaktilah kepada mereka.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih daun keladi,
Datang sini, komen le lagi